
Baca atau dengar petikan berikutnya
Ibarat tentang seorang Samaria yang baik hati
25 Seorang ahli Taurat datang dan cuba memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus aku buat untuk mewarisi hidup yang kekal?”
26 Yesus berkata, “Apakah yang tercatat dalam Taurat? Bagaimanakah kamu mentafsirnya?”
27 Ahli Taurat itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan sepenuh hatimu, dengan sepenuh jiwamu, dengan sepenuh kekuatanmu dan dengan sepenuh fikiranmu serta mengasihi sesama manusia seperti dirimu sendiri.’ ”
28 Yesus berkata kepadanya, “Betullah jawapanmu. Berbuatlah demikian dan kamu akan hidup.”
29 Tetapi dia hendak membela dirinya lalu dia berkata kepada Yesus, “Siapakah sesama manusia itu?”
30 Yesus menjawab, “Ada seorang dalam perjalanan dari Yerusalem ke Yerikho. Dia diserang oleh penyamun yang merompaknya dan membelasahnya sehingga setengah mati. 31 Kebetulannya, seorang imam melalui jalan itu. Apabila dia melihat si malang itu, dia menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 32 Begitu juga seorang suku bangsa Lewi melalui tempat itu dan melihat si malang itu. Dia juga menyeberangi jalan dan meneruskan perjalanannya. 33 Akan tetapi, seorang bangsa Samaria juga lalu di tempat itu dalam perjalanannya. Dia melihat si malang itu dan hatinya dipenuhi dengan belas kasihan. 34 Dia menghampiri si malang itu lalu membersihkan luka-lukanya dengan air anggur dan minyak serta membalut luka itu. Kemudian, dia menaikkan si malang itu ke atas keldai tunggangannya dan membawanya ke rumah tumpangan untuk terus merawatinya di situ. 35 Pada keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang dinar kepada tuan rumah tumpangan untuk perbelanjaan si malang itu sambil berkata, ‘Jagalah dia dan sekiranya wang ini tidak cukup untuknya, aku akan membayarnya apabila aku datang kembali.’ ”
36 Yesus berkata, “Antara tiga orang itu, siapakah pada pandangan kamu menjadi sesama manusia kepada orang yang dirompak oleh penyamun?”
37 Ahli Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.” Yesus berkata, “Pergi dan berbuatlah sedemikian.”
Anak lelaki yang hilang
11 Yesus berkata seterusnya: “Ada seorang yang mempunyai dua orang anak lelaki.
12 Anak bongsu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, berilah aku sekarang bahagian harta yang akan menjadi pusakaku.’ Lalu bapa itu membahagikan hartanya kepada kedua-dua anaknya itu.
13 Tidak lama kemudian, yang bongsu itu menjual hartanya dan merantau ke negeri yang jauh. Di situ dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya.
14 Setelah dia menghabiskan kesemua wangnya, suatu kebuluran yang teruk berlaku di negeri itu dan dia dalam keadaan serba kekurangan.
15 Dia pergi bekerja dengan seorang penduduk negeri itu dan disuruh menjaga babi di ladangnya.
16 Dia ingin mengisi perutnya dengan sekam kacang yang dimakan oleh babi tetapi tiada seorang pun yang memberikan apa-apa kepadanya.
17 Akhirnya, dia sedar dan berkata, ‘Semua orang gaji bapaku dapat makan sehingga kenyang, tetapi aku ini hampir mati kelaparan!
18 Aku hendak kembali kepada bapaku, dan aku akan berkata kepadanya: Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah.
19 Aku tidak layak disebut sebagai anak ayah. Jadikanlah aku ini sebagai salah seorang gaji ayah.’
20 Dia pun kembali kepada bapanya.
Semasa dia masih jauh lagi, bapanya nampak dia. Hatinya penuh dengan belas kasihan dan dia berlari menemuinya. Bapanya memeluk dan menciumnya. 21 Anak itu berkata kepada bapanya, ‘Ayah, aku telah berbuat dosa kepada syurga dan kepada ayah. Aku tidak layak disebut anak ayah.’ 22 Bapa itu menyuruh hamba-hambanya, ‘Segeralah ambil pakaian yang terbaik dan pakaikanlah kepada anakku. Sarungkan sebentuk cincin pada jarinya dan pakaikan kasut pada kakinya. 23 Pilihlah dan sembelihlah anak lembu yang tambun, dan marilah kita mengadakan jamuan dan bersuka ria; 24 kerana anakku ini telah mati dan hidup kembali; dia telah hilang dan ditemukan kembali.’ Lalu mereka mula bersuka ria.
25 Pada masa itu anak sulung bekerja di ladang. Apabila dia pulang ke rumah, dia terdengar bunyi muzik dan orang menari-nari. 26 Dia memanggil seorang hamba lalu bertanya, ‘Apakah yang sedang berlaku ini?’ 27 Hamba itu menjawab, ‘Adik tuan telah pulang dan bapa tuan telah menyembelih anak lembu yang tambun kerana adik tuan pulang dengan selamatnya.’ 28 Anak sulung itu sangat marah sehingga dia tidak mahu masuk ke dalam rumah. Ayahnya keluar lalu memujuk dia. 29 Anak sulung itu berkata, ‘Tengoklah, bertahun-tahun aku bekerja untuk ayah. Aku tidak pernah melanggar perintah ayah. Tetapi ayah tidak pernah memberikan seekor anak kambing pun kepada aku supaya aku dapat bersuka ria dengan sahabat-sahabatku. 30 Namun sepulangnya anak ayah ini yang telah memboroskan harta ayah dengan perempuan-perempuan sundal, ayah menyembelih anak lembu yang tambun untuknya!’ 31 Bapa itu berkata kepadanya, ‘Anakku, engkau ini sentiasa bersama ayah, dan segala milik ayah ialah milikmu. 32 Kita patut bersuka ria kerana adikmu ini telah mati dan hidup kembali; dia telah sesat dan ditemukan kembali.’ ”
Ambillah masa untuk menceritakan semula dengan kata-kata sendiri. Cakaplah dengan suara kuat yang boleh didengar, atau tuliskannya. Jika anda terlupa atau tidak dapat mengingat cerita itu, baca atau dengar semula.
Jika anda pernah mendengar cerita ini, ambil masa sebentar untuk merenungkan atau membincangkan soalan-soalan berikut:
Get Discovery Bible Studies on your phone
Discover copyright ©2015-2026 discoverapp.org
Malay Scripture verses Alkitab Versi Borneo ©2015 Borneo Sabda Limited. Used with permission. All rights reserved.